Tuesday, May 17, 2011

Dinar dan Dirham

Dinar Emas Kelantan Darul Naim

Dinar ialah koin yang ditempa dari bahan logam emas dan Dirham pula ialah koin yang ditempa dari bahan logam perak. Perkataan ‘Dinar’ berasal dari perkataan ‘Denarius’ iaitu koin emas matawang Romawi yang digunakan sebelum kelahiran Nabi Muhammad SAW lagi. Perkataan ‘Dirham’ pula berasal dari perkataan ‘Drachma’ iaitu koin matawang perak Parsi.
Sezaman dengan Baginda Rasulullah SAW; koin-koin emas dan perak yang digunakan di seluruh Semenanjung Arab adalah berasal dari Empayar Byzantium dan Empayar Sasanid. Malah koin-koin emas Dinar & Dirham tersebut terus digunakan selepas kewafatan Baginda Rasulullah SAW pada tahun 632 M berterusan semasa pemerintahan Sayyidina Abu Bakar r.a sehinggalah kezaman Khalifah Abdul Malik ibnu Marwan (685-705M) tanpa ada koin-koin penempaan khusus oleh Kerajaan Islam. Pada tahun 75H terjadi suatu perselisihan antara Maharaja Byzantium dengan Khalifah Abdul Malik ibnu Marwan r.a. demi mempertahankan keunggulan kerajaan Berkhalifah Islam; Baginda telah memerintahkan penempaan koin-koin emas Dinar & Dirham Kerajaan Islam yang pertama.
Ini bermakna bahawa koin-koin emas Dinar dan perak Dirham adalah matawang yang universal tanpa mengira Negara yang menempanya. Ianya adalah suatu alat pertukaran yang tidak kenal bangsa dan Negara kerana semua menerima dan mengunakannya sebagai suatu alat pertukaran yang utuh dan teguh tanpa memerlukan sokongan dari mana-mana kuasa pemerintahan atau negara.


Tahukah anda koin Dinar dan Dirham ‘nilainya’ berada pada sukatan berat timbangan logamnya?

Ini bermakna bahawa ‘nilai’ koin-koin ini berada pada zatnya. Berbeza dengan wang-wang kertas dimana ‘nilainya’ hanyalah pada angka tulisan yang dicetak atas kertas tersebut semata! Ini juga bermakna koin Dinar dan Dirham ‘nilainya’ ditentukan oleh Allah SWT pada salah satu nama-Nya yang Maha Agung – Allah adalah ar-Razak! (Allah SWT Pemberi Rezeki). Allah SWT sendirilah yang menentukan banyak manakah emas dan perak mampu di gali oleh manusia. Sebaliknya, wang-wang kertas, ‘nilainya’ ditentukan oleh pihak yang berkuasa atau pemerintah! Ini bererti pihak berkuasa menandingi kuasa Allah SWT dalam memberi rezeki!


Wang-wang kertas hari ini sudah tidak lagi bersandarkan sejumlah emas.

Wang-wang kertas dalam edaran diseluruh dunia hari ini sudah tiada apa-apa sandaran kepada emas dan perak sejak 1971 lagi.  Sejarah memcatitkan peristiwa ‘pecah amanah’ yang telah dilakukan oleh Kerajaan Amerika Syarikat dalam perjanjian Brettonwoods 1945 terhadap 44 buah Negara yang menandatangani perjanjian tersebut.
Sememangnya pada mulanya Amerika Syarikat menjanjikan dan menjamin bahawa setiap Dollar Amerika ada disandarkan kepada emas (USD35/oz gold). Tetapi ini hanyalah tipu-daya mereka memerangkapkan ummah menerima Dollar Amerika sebagai ‘matawang rezab’ (Reserve Currency) menggantikan emas yang disimpan di 44 buah neagara tersebut sahaja.

 Pada masa tersebut dikatakan ‘Dollar Amerika adalah sama seperti simpanan emas’ (American Dollar as good as gold). Setelah semua ahli menerima dan memberikan bi’ah kepada Amerika Syarikat, Negara ini mula mencetak lebih banyak Dollar daripada sandaran emas yang ada. Penipuan ini terbongkar sehingga ada pemimpin-pemimpin Negara yang sedar segera meminta emas yang dijamin. Sejarah mencatitkan pada masa pemerintahan Presiden Richard Nixon lah iaitu pada tahun 1971, Amerika Syarikat mengistiharkan bahawa semua matawang kertas sudah tidak perlu bersandarkan kepada emas lagi. Semua wang-wang kertas adalah dibebaskan terapung di pasaran matawang semata-mata menjadikan nilainya sesama sendiri tiada harga sedikit pun. Inilah penipuan yang paling hebat dalam sejarah kemanusiaan.
Dollar Amerika sebagai matawang rezab dunia menyapu bersih semua harta ummah di abad ini.


Tahukah anda sebagai ‘Matawang Rezab Dunia’, Amerika Syarikat telah/boleh membeli semua kekayaan dunia hari ini?

Ini bermakna kita kononnya menjual kepada mereka hasil mahsum negara kita seperti minyak kelapa sawit, getah, barang-barang elektronik dan mereka hanya perlu memberikan wang-wang kertas Dollar Amerika yang tiada sebarang nilai sebenar!
Bukan itu sahaja, Umat Islam serta semua ummah  abad ini telah ditipu sebegitu rupa sehinggakan matawang negara sesama ahli pun tidak laku dalam negara sesama ahli. Ini sebabnya jika kita bawa Ringgit Malaysia ke negara Arab Saudi, Ringgit Malaysia tidak boleh digunakan di Arab Saudi. Begitu juga wang-wang kertas Arab Saudi (Riyal) tidak laku di Malaysia. Ini bermakna semua urusan kehidupan di abad ini adalah tercemar termasuklah ibadah-ibadah kita turut terjejas. Ibadah Haji & Umrah pembayaran Zakat, malah setiap jual/beli malah sebuah kehidupan Deenul Islam adalah tercemar dengan penipuan amalan RIBA!


Allah SWT melarang umatnya memberikan Bi’ah mengenai harta kepada Ahli Kitab.

Menurut Tafsir Qadi Abu Bakar Ibnu a.r Arabi dalam Kitab Ahkamul Quran pada Surah Ali Imran ayat 75 – bahawa pengajaran dari ayat tersebut ialah; Allah SWT melarang kaum Muslimin daripada mengamanahkan urusan mengenai harta pada tangan Ahli Kitab. Ini adalah disebabkan mereka (Ahli Kitab) tiada rasa bertanggungjawab untuk menunaikan apa-apa perjanjian dengan kaum selain mereka walaupun sudah dimeteraikan dan dipersetujui.
Kembalinya Dinar & Dirham adalah juga berakhirnya zaman Dharurat.
Jika dulu kita masih boleh berdalih oleh kerana umat Islam sudah tiada Kerajaan Berkhalifah dan sudah tidak memerintah, maka umat Islam terpaksa mengikut pemerintah yang berkuasa yang menggunakan matawang kertas. Inilah yang dikatakan umat Islam adalah dalam keadaan Dharurat!. Maka dengan kembalinya Dinar & Dirham Kelantan di negeri yang bertuah ini, Zaman Dharurat telah pun berakhir. Kembalinya Dinar & Dirham dalam edaran bererti juga bermula di Negeri Kelantan, umat Islam diabad ini berpeluang membebaskan diri mereka daripada amalan riba. Allah SWT mengistiharkan PERANG ke atas hambaNya sendiri terhadap amalan RIBA! Surah al-Baqarah ayat 278-279: “Wahai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kamu kepada Allah SWT dan tinggalkan lah sisa-sisa RIBA jika kamu orang yang beriman. Jika kamu tidak melaksanakannya maka Aku dan RasulKu mengistihar PERANG atas kamu…”!


Pembelaan Allah SWT dalam pengistiharan ‘PERANG’ pada amalan RIBA!

Menggunakan matawang Syariah bererti anda bukan sahaja membebaskan diri anda dan keluarga anda  daripada kemurkaan Allah SWT tetapi juga anda adalah terbela daripada cengkaman dakyah inflasi! Beredarnya koin-koin Dinar & Dirham ditangan rakyat bermakna rakyat adalah terbela daripada tipu helah pihak yang berkuasa di abad ini. Sekaligus adalah pembelaan Allah SWT terhadap umatNya di abad ini.


Apakah Dinar & Dirham melanggar mana-mana undang-undang negara kita?

Tidak! Matawang Syariah Dinar & Dirham hanyalah merupakan bahan alat-alat pertukaran dalam transaksi sahaja. Pengguanaan koin-koin Dinar & Dirham tidak melanggar mana-mana perundangan negara kita kerana ianya bukan matawang paksaan ‘legal tender’ (sah diperlakukan). Seumpama anda membuat pertukaran barangan dengan satu barangan lain (barter trade) penggunaan koin-koin Dinar & Dirham adalah merupakan suatu pilihan sahaja antara mana-mana cara pembayaran dalam memenuhi suatu transaksi. Di dalam Surah An-Nisa’ ayat 29 yang bermaksud “ Wahai orang-orang yang beriman janganlah kamu saling memakan harta sesama kamu dengan jalan yang batil (tidak benar) kecuali dalam perdagangan yang berlaku atas dasar suka sesama suka diantara kamu”. Di dalam ayat ini Allah SWT memberikan kebebasan bukan sahaja dalam urusan penjualan/pembelian tetapi juga kebebasan memilih mana-mana bahan matawang untuk penyelesaian urusan tersebut asalkan kedua-dua belah pihak setuju antara satu sama lain. Ini bermakna bukan sahaja umat Islam ada pilihan membebaskan diri mereka daripada cengkaman penipuan yang maha dahsyat di abad ini tetapi juga membuka ruang kepada seluruh Ummah di abad ini.

Dirham dan Dinar Kelantan


"The day will come when nothing will be of value as money except dinar and dirham." Al-hadith -Musnad Imam Ahmad ibnu Hanbal
Belilah Dinar dan Dirham sebelum jatuhnya sistem matawang kertas kapitalis... dunia di akhir zaman...

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails