Showing posts with label Berita/Semasa. Show all posts
Showing posts with label Berita/Semasa. Show all posts

Thursday, March 24, 2011

Fitnah : Senjata Tertua di Dunia

Fitnah : Senjata Tertua di Dunia

1. Meskipun senjata ini adalah senjata yang paling tua dan klasik, namun ia adalah senjata yang bahaya dan berbisa malah kesan radiasinya lebih dahsyat membawa kemusnahan berbanding letupan loji nuklear. Ia bukan sahaja mampu membunuh jasad manusia bahkan fitnah adalah senjata yang mampu membunuh jiwa manusia dan peradabannya. Firman Allah swt :

و الفتنة أكبر من  القتل و لا يزالون يقاتلونكم حتى يردوكم عن دينكم إن استطاعوا

dan fitnah itu adalah suatu yang sangat besar [ dahsyat dosa dan akibatnya ] dari membunuh dan senantiasalah mereka memerangi kamu sehingga mereka boleh memalingkan kamu dari agama kamu jika sekiranya mereka mampu melakukannya.

Surah Al Baqarah Ayat : 217

2. Bermula dari zaman pertarungan antara Qabil dan Habil yang bermula dengan api fitnah merebut seorang perempuan untuk dicintai akhirnya meletus satu kesan radiasi yang membawa kepada berlakunya pembunuhan dan itu adalah pembunuhan manusia pertama direkodkan di atas muka bumi dan ianya bermula dari fitnah serta dendam. [boleh rujuk kisahnya di dalam surah al Maaidah ayat 27 hingga 32].

3. Nabi Yusuf as terpaksa meringkuk di dalam penjara angkara fitnah. Nabi Yusuf as dituduh bermukah dengan Zulaikha, isteri kepada seorang pembesar istana. Plot dan drama fitnah itu dirancang selicik mungkin oleh orang - orang dalam istana yang bermula dari api fitnah Zulaikha akhirnya Nabi Yusuf as diseret ke penjara sementara Nabi Yusuf as sedia ke penjara demi mempertahankan maruah dan kesucian dirinya. Firman Allah : [boleh rujuk kisahnya di dalam surah Yusuf ayat 21 - 36]

قال رب السجن أحب إلي مما يدعونني إليه

Ia [ nabi Yusuf as ] telah berkata : Tuhanku , Penjara lebih aku suka berbanding apa yang mereka suruh aku lakukanya

Surah Yusuf. Ayat 33

4. Senjata fitnah sebagai senjata yang tiada nombor siri ini terus digunakan secara berleluasa di sepanjang zaman sehinggalah ke zaman Nabi kita Muhammad saw. Apabila Isteri Nabi saw, Aisyah rha. difitnah dan dituduh berzina dengan Sofwan bin Mua'attal al Sulami. Plot cerita yang disusun rancang oleh Abdullah bin Ubai bin Salul cukup meyakinkan sehingga sebahagian sahabat Rasulullah saw mencadangkan agar Nabi saw menceraikan sahaja Aisyah rha sementara sebahagian yang lain mempertahankannya. Malah Nabi saw diam tidak terkata, tambahan pula wahyu terhenti kira - kira sebulan lamanya. Sehinggalah akhirnya turun wahyu membebaskan keluarga Rasulullah saw dari belenggu fitnah yang direka.

5. Allah swt berfirman di dalam surah an Nuur ayat 11, bermaksud :

Sesungguhnya orang-orang yang membawa berita bohong itu adalah dari golongan kamu juga. Janganlah kamu kira bahawa berita bohong itu buruk bagi kamu bahkan ia adalah baik bagi kamu.

6. Melalui sejarah tamadun moden hari ini juga dapat disaksikan bagaimana kuasa manusia di dunia ini, biarpun mereka telah memiliki peluru berpandu, jet pejuang, kereta perisai, bom nuklear dan 1001 jenis senjata canggih termasuk pesawat tanpa pemandu, namun mereka tetap menggunakan senjata tanpa nombor siri [fitnah] ini untuk menjatuhkan lawan mereka samaada musuh mereka dalam persaingan ekonomi atau musuh mereka dalam pergolakan politik.

7. Malah kuasa besar dunia sekalipun lengkap dengan segala kekuatan tentera dan senjata, demi menjayakan misi penaklukan mereka ke atas negara - negara lain turut menggunakan fitnah bagi mencetus huru hara dan perang saudara serta pergolakan politik dalaman sebelum mereka menjadi "super hero" yang datang kononnya untuk misi menyelamat dan damai.

8. Dunia disepanjang zaman diletakkan dalam persaingan dan pertarungan fitnah. Manusia walaupun baik, lebih - lebih lagi manusia buruk memang berpotensi untuk menjadi mangsa senjata fitnah ini. Namun kebiasaannya manusia yang jahat [faajir] akan menggunakan senjata ini untuk diacu kepada lawannya. Justeru manusia yang baik [soleh] sekali - kali tidak akan bermain dengan senjata tanpa tuan ini.

9. Bukan sahaja individu akan derita sebaik sahaja terkena kesan radiasi fitnah ini, malah rumahtangga akan runtuh, masyarakat akan huru hara, negara akan binasa malah dunia hilang pertimbangan. Jika dunia mengutuk sekeras - kerasnya mana - mana negara yang membina dan menggunakan senjata nuklear kerana menyedari kesan buruknya, maka saya kira dunia wajar mengutuk berganda kali penggunaan senjata fitnah yang membawa kesan buruk dan dahsyat berlipat ganda.

10. Bagi kita ummat Islam malah juga perlu diambil iktibar [pengajaran] oleh non muslim akan nasihat dan panduan nabi kita Muhammad saw dalam menghadapi zaman penuh fitnah, krisis dan konflik ini. Terutama kepada mereka yang sering menjadi mangsa fitnah tanpa mengira apa tujuan atau objektifnya, wajar sekali menghayati wasiat dan pedoman Rasulullah saw. Sabda Rasulullah saw :

أوصيكم بتقوى الله عزوجل و السمع و الطاعة و إن تأمر عليكم عبد فأنه من يعش منكم فسيرى اختلافا كثيرا فعليكم بسنتي و سنة الخلفاء الراشدين المهديين عضوا عليها بالنواجذ و أياكم و محدثات الأمور فإن كل بدعة ضلالة

Maksudnya : Aku berwasiat kepada kamu supaya bertaqwa kepada Allah swt dan dengar serta taat sekalipun yang dilantik pemimpin ke atas kamu hanyalah seorang hamba. maka sesungguhnya, sesiapa yang masih hidup dari kalangan kamu, nescaya ia akan melihat berlakunya ikhtilaf [ krisis, konflik dan fitnah ] yang begitu berleluasa , maka wajiblah ke atas kamu berpegang teguh dengan sunnahku dan sunnah khulafa' ar Rasyidin yang mendapat petunjuk dari Allah swt dan hendaklah genggam sunnah itu seerat - eratnya dengan geraham kamu. Waspadalah akan perkara yang direka cipta maka sesungguhnya setiap perkara baru yang direka cipta [ dalam urusan agama kamu ] adalah sesat.

Hadis riwayat : Abu Dawud dan at Turmuzi dan katanya Hadis ini Hasanun Sohih.

Penutup : Hanya taqwa serta keiltizaman kita kepada syariat dan sunnah Rasulullah saw akan menjadi perisai berkesan dalam menghadapi peluruh fitnah dan kesan radiasinya. Meskipun fitnah itu melanda diri dan keluarga kita, insyaallah ketaqwaan akan menjadikan kita mendapat lindungan Allah swt dan kita berjaya mengatasinya dengan jaya.

Bersabarlah insan yang terfitnah dan semoga mereka yang menabur fitnah mendapat petunjuk Allah swt untuk kembali ke jalan yang benar, memohon ampun dan diredhai Allah swt.

Salam dari Lembah Multazam
Masjidil Haram Makkah Al Mukarramah.

Murnikan Perjuangan Maknakan Kemenangan

Nasrudin bin Hassan
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia.

Sumber: Page Nasruddin Hassan

Sunday, January 16, 2011

Bacaan selain azan di pembesar suara patut dihentikan.

Dr. Mohd Asri bin Zainul Abidin

Saya ingin mengulas sedikit tentang bacaan-bacaan (selain azan) yang menggunakan pembesar suara sehingga mengganggu orang ramai. Bacaan ini telah mengelirukan orang bukan muslim sehingga mereka menyangka ia azan. Sesetengah pihak cuba mempertahankan amalan tersebut atas alasan ia bacaan al-Quran atau zikir yang patut diagungkan. Mereka menyangka sikap keras mereka dalam hal ini adalah ‘perjuangan mempertahankan Islam’. Saya ingin mengulas hal ini seperti berikut;

1. Apa yang Islam syariatkan untuk diangkat suara, hanyalah azan. Adapun selain dari itu, tiada nas yang menyuruh kita menguatkan suara sehingga mengganggu orang lain. Bahkan perbuatan itu dilarang oleh Nabi s.a.w. Apatah lagi dalam Islam ketenteraman orang lain dipelihara melainkan jika ada pengecualian tertentu yang diizinkan oleh syarak.

2. Walaupun bacaan al-Quran dan zikir amatlah baik. Namun kita tidak boleh memaksa orang lain mendengar bacaan kita. Mungkin orang lain ingin membacanya sendiri, atau ingin membacanya pada waktu lain, atau mereka sedang sakit atau ada anak kecil yang tidur, atau mereka tidak difardukan solat seperti wanita yang haid atau bukan muslim dan lain-lain.

3. Ramai orang bukan muslim keliru antara azan dan bacaan-bacaan selain azan yang dilaungkan menerusi corong pembesar suara. Mereka menyangka bacaan-bacaan itu adalah azan yang disuruh oleh Islam, lalu mereka bersangka buruk dengan Islam yang harmoni ini. Apatah lagi bacaan itu mengambil masa yang lama, sedangkan azan yang sebenar tidak lebih dari lima minit.

4. Sebenarnya, Nabi s.a.w sendiri telah melarang orang menguatkan bacaan al-Quran dalam masjid sehingga mengganggu jamaah lain. Dalam hadis Nabi s.a.w, kata Abu Sa’id al-Khudri:

“Ketika Nabi s.a.w beriktikaf (beribadah dalam masjid), baginda mendengar mereka mengangkat suara bacaan (al-Quran) sedangkan ketika itu Nabi s.a.w berada di tempat ibadah baginda. Lalu baginda mengangkat langsir dan bersabda: “Ketahui setiap kamu bermunajat kepada tuhannya, jangan sebahagian kamu menyakiti sebahagian yang lain. Jangan kamu angkat suara bacaan melebihi yang lain dalam solat”
(Riwayat Abu Daud dengan sanad yang sahih).
Dalam hadis ini Nabi s.a.w melarang mengangkat suara bacaan di masjid sehingga menganggu mereka yang lain yang sedang beribadah, atau menyakitkan orang lain. Jika mereka yang berada dalam masjid yang memang bersedia untuk beribadah pun, tidak dibenarkan untuk diangkat suara bacaan sehingga mengganggu konsentrasi mereka, mana mungkin untuk dikuatkan suara bacaan melalui pembesar suara sehingga menggangu mereka yang di luar masjid. Mungkin mereka itu mempunyai anak kecil, orang sakit dan seumpamanya.

Ulama besar di zaman ini, Al-Syeikh Muhammad Salih al-Uthaimin r.h mengulas hadis ini dengan katanya:

“Realiti hari ini menyaksikan apa yang disebut oleh hadis ini. Ini yang kita lihat mereka yang melakukan hal ini dengan menunaikan solat menggunakan pembesar suara (luar masjid). Mereka itu jika menyakiti sesiapa yang ada di sekeliling mereka, maka mereka berdosa.. tiada syak lagi meninggal perbuatan ini lebih afdal yang pada hakikatnya tiada faedah pun, sebab insan tidak bersolat dengan mereka yang di luar masjid, sebaliknya dengan mereka yang berada dalam masjid.. dengan itu kita berpesan kepada saudara-saudara kita, khususnya para imam masjid jangan lakukan ini.. boleh jadi sesetengah orang telah solat dan perlu tidur dan berehat, boleh jadi dia sakit lalu terganggu dengan suara ini, boleh jadi juga masjid dekat dengan rumah, pada musim panas pula dan anak-anak kecil terganggu dengan bunyi pembesar suara. Kesimpulannya, masalah ini telah menimpa sesetengah orang sehingga mereka menyakiti jiran-jiran masjid atau rumah mereka dalam perkara yang tiada faedah baginya”. (Ibn Uthaimin, Syarh Riyadh al-Salihin: http://www.ibnothaimeen.com/all/eBook-o.shtml).

Bayangkan kenyataan ini dikeluarkan oleh ulama besar dan terbilang tersebut di negara Saudi Arabia yang penduduknya kesemuanya muslim. Bagaimanakah pula bagi negara yang seperti kita.

5. Ulama silam juga telah mengingatkan hal ini, bahawa bacaan-bacaan lain di menara-menara masjid adalah dilarang kerana boleh mengganggu orang ramai. Al-Imam al-Hafizd Ibn Jauzi (meninggal 597H) pernah berkata:

“Antara tipu daya Iblis ialah mereka yang mencampur adukkan azan dengan peringatan, tasbih dan nasihat. Mereka jadikan azan perantaranya lalu bercampur aduk. Para ulama membenci segala yang ditambah kepada azan. Banyak kita lihat orang yang bangun waktu malam lalu memberikan peringatan dan nasihat atas menara azan. Dalam kalangan mereka ada yang membaca al-Quran dengan suara yang tinggi lalu menghalang tidur orang ramai dan mengganggu bacaan orang yang bertahajjud. Kesemuanya itu adalah perkara-perkara munkar”. ( Ibn Jauzi, Talbis Iblis, 159, Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah).

Ini adalah larangan ulama pada zaman yang belum ada pembesar suara yang gangguannya tidaklah setakat mana, bagaimana jika mereka melihat keadaan pembesar suara pada zaman ini?

6. Maka, dengan itu umat Islam patut menghentikan bacaan-bacaan yang dibuat melalui pembesar suara yang boleh mengganggu orang luar dan dalam masjid. Mematuhi hal ini bukan kerana isu politik semata, tetapi itu arahan Nabi s.a.w. dan juga menjaga Islam yang harmoni. Suara-suara yang dikuatkan itu bukan menambahkan cinta mereka kepada Islam, sebaliknya menimbulkan salahfaham banyak pihak.
 
Sumber: idhamlim.blogspot.com

SILA BACA: Apakah Hukum Bacaan Kuat Selain Dari Azan ?

Sunday, December 19, 2010

Pencuri dibelasah: Kembalilah kepada syariat Islam

http://ahmadfadhli.com.my/   

Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan (DPPNK) melahirkan rasa kesal terhadap beberapa insiden individu yang disyaki pencuri dibelasah sehingga maut yang berlaku akhir-akhir ini.

Sewajarnya kejadian demikian tidak berlaku sekrianya semua pihak menghormati undang-undang dan tidak bertindak mengikut perasaan dan emosi masing-masing. Dari sudut yang lain, DPPNK ingin mengajak semua pihak berfikir kenapakah kes-kes seperti ini boleh berlaku?

Jelas sekali berlaku ketidakpuasan hati di kalangan masyarakat terhadap hukuman atau punishment yang dikenakan terhadap individu yang terlibat dengan kes kecurian. Banyak berlaku kes di mana mereka yang didapati bersalah dikenakan hukuman penjara dan akan bebas beberapa tahun kemudian seterusnya kembali melakukan jenayah yang sama.

Akur atau tidak, inilah tanggapan yang berlegar di tengah-tengah masyarakat pada hari ini. Hasilnya, tahap ketidakpercayaan terhadap undang-undang menjadi semakin tinggi dan menyebabkan masyarakat mula bertindak mengikut emosi sendiri.

Dalam masa yang sama, kes-kes jenayah khususnya kecurian semakin mencatat peningkatan dari tahun ke tahun yang jelas sekali membuktikan wujudnya suasana tidak tenteram di kalangan masyarakat awam. Individu-individu yang terlibat sebagai penjenayah pula tidak takut untuk melakukan jenayah yang sama berulang kali sekalipun sedar akan dikenakan hukuman sekiranya didapati bersalah.

DPPNK mengajak semua pihak dan kerajaan untuk memerhatikan dengan serius scenario ini. Sudah sampai masanya untuk kembali kepada undang-undang yang telah ditetapkan oleh Allah SWT. Di dalam kes mencuri, al-Quran telah menetapkan hukuman potong tangan kepada pencuri sebagai pencegahan yang paling berkesan.

Perhatikanlah firman Allah SWT: 

وَالسَّارِقُ وَالسَّارِقَةُ فَاقْطَعُوا أَيْدِيَهُمَا جَزَاءً بِمَا كَسَبَا نَكَالا مِنَ اللَّهِ وَاللَّهُ عَزِيزٌ حَكِيمٌ (٣٨)
Laki-laki yang mencuri dan perempuan yang mencuri, potonglah tangan keduanya (sebagai) pembalasan bagi apa yang mereka kerjakan dan sebagai pencegahan dari Allah. dan Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana. (Surah al-Maidah, ayat 38)

Hukuman potong tangan terhadap pencuri tidak boleh dilakukan oleh mana-mana pihak sesuka hati melainkan oleh kerajaan yang mempunyai kuasa. Dengan kadar kecurian yang tertentu, ia juga hanya dilakukan setelah melalui proses pengadilan di mahkamah dan perlu dilaksanan di hadapan khalayak ramai. Ini bagi menanam rasa gerun di kalangan masyarakat untuk melakukan jenayah berkenaan. Apa yang paling penting, ia merupakan satu pencegahan daripada Allah SWT.

Hakikatnya, masanya telah tiba untuk memikirkan kembali dengan serius langkah pencegahan yang benar-benar dapat mencegah daripada berlakunya jenayah seperti ini. DPPNK yakin sekiranya semua pihak kembali kepada hukuman yang telah diajar di dalam Islam di samping mempergiatkan aktiviti kesedaran di kalangan warga awam, Insya Allah kes-kes individu yang disyaki pencuri dipukul sampai mati tidak akan berulang di masa-masa akan datang.

Sunday, July 18, 2010

Wanita dilarang hisap shisha


SEORANG lelaki menyediakan shisha di sebuah kafe di Bandar Gaza kelmarin.

Wanita Dilarang Hisap Shisha


BANDAR GAZA - Pergerakan Hamas yang menguasai Gaza melarang wanita daripada menghisap shisha kerana menganggap rumah tangga dan imej penduduk Palestin akan terjejas jika perbuatan itu dibenarkan.

Larangan itu merupakan usaha terbaru pergerakan tersebut untuk melaksanakan gaya hidup yang berteraskan peraturan ketat agama Islam.

"Adalah tidak sesuai bagi seorang wanita untuk duduk bersilang kaki dan merokok di tempat awam. Perbuatan itu mencemarkan imej penduduk kami," kata jurucakap Kementerian Dalam Negeri Hamas, Ehab Ghussein dalam satu kenyataan semalam.

Jurucakap Polis Hamas, Ayman Batneiji berkata, ramai wanita yang menghisap rokok di tempat awam telah bercerai apabila suami mereka melihat isteri masing-masing melakukan perbuatan itu.

Larangan itu diberitahu oleh beberapa pegawai keselamatan berpakaian biasa yang berjalan di sebuah kawasan kafe yang popular di Gaza. Mereka mengarahkan tidak ditawarkan shisha kepada pelanggan wanita.

Pada mulanya, pemilik-pemilik kafe keliru dengan menganggap larangan tersebut turut melibatkan pelanggan lelaki. Namun, seorang jurucakap Hamas mengeluarkan satu kenyataan bagi memberi jaminan kepada penduduk bahawa larangan itu hanya melibatkan wanita. - AP
Sumber: Kosmo! Online

*** Kesan buruk merokok ini bukan hanya melibatkan kesihatan, malah rumahtangga terlibat sama merujuk kepada berita ini. Rokok dan shisha sama sahaja hukumnya iaitu HARAM. Sila rujuk post saya sebelum ini : Shisha dan Hukum Penggunaannya.

Namun masih ramai yang tidak rasa apa-apa melakukan perbuatan dosa ini. Lebih mengejutkan ada juga daripada kaum wanita yang sepatutnya bersifat lemah lembut, pemalu dan lain-lain - sudah lari dari fitrahnya. Sepatutnya merokok atau menggunakan shisha menjadi perkara aib bagi kita umat Islam kerana bukan sahaja membazir, tetapi membawa mudharat kepada diri sendiri dan orang lain juga di samping kesan-kesan buruk yang lain. Rokok membunuh!

Hitunglah diri sendiri ketika masih ada waktu... penyesalan di kemudian hari tiada gunanya.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails