Sunday, December 19, 2010

Pencuri dibelasah: Kembalilah kepada syariat Islam

http://ahmadfadhli.com.my/   

Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan (DPPNK) melahirkan rasa kesal terhadap beberapa insiden individu yang disyaki pencuri dibelasah sehingga maut yang berlaku akhir-akhir ini.

Sewajarnya kejadian demikian tidak berlaku sekrianya semua pihak menghormati undang-undang dan tidak bertindak mengikut perasaan dan emosi masing-masing. Dari sudut yang lain, DPPNK ingin mengajak semua pihak berfikir kenapakah kes-kes seperti ini boleh berlaku?

Jelas sekali berlaku ketidakpuasan hati di kalangan masyarakat terhadap hukuman atau punishment yang dikenakan terhadap individu yang terlibat dengan kes kecurian. Banyak berlaku kes di mana mereka yang didapati bersalah dikenakan hukuman penjara dan akan bebas beberapa tahun kemudian seterusnya kembali melakukan jenayah yang sama.

Akur atau tidak, inilah tanggapan yang berlegar di tengah-tengah masyarakat pada hari ini. Hasilnya, tahap ketidakpercayaan terhadap undang-undang menjadi semakin tinggi dan menyebabkan masyarakat mula bertindak mengikut emosi sendiri.

Dalam masa yang sama, kes-kes jenayah khususnya kecurian semakin mencatat peningkatan dari tahun ke tahun yang jelas sekali membuktikan wujudnya suasana tidak tenteram di kalangan masyarakat awam. Individu-individu yang terlibat sebagai penjenayah pula tidak takut untuk melakukan jenayah yang sama berulang kali sekalipun sedar akan dikenakan hukuman sekiranya didapati bersalah.

DPPNK mengajak semua pihak dan kerajaan untuk memerhatikan dengan serius scenario ini. Sudah sampai masanya untuk kembali kepada undang-undang yang telah ditetapkan oleh Allah SWT. Di dalam kes mencuri, al-Quran telah menetapkan hukuman potong tangan kepada pencuri sebagai pencegahan yang paling berkesan.

Perhatikanlah firman Allah SWT: 

وَالسَّارِقُ وَالسَّارِقَةُ فَاقْطَعُوا أَيْدِيَهُمَا جَزَاءً بِمَا كَسَبَا نَكَالا مِنَ اللَّهِ وَاللَّهُ عَزِيزٌ حَكِيمٌ (٣٨)
Laki-laki yang mencuri dan perempuan yang mencuri, potonglah tangan keduanya (sebagai) pembalasan bagi apa yang mereka kerjakan dan sebagai pencegahan dari Allah. dan Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana. (Surah al-Maidah, ayat 38)

Hukuman potong tangan terhadap pencuri tidak boleh dilakukan oleh mana-mana pihak sesuka hati melainkan oleh kerajaan yang mempunyai kuasa. Dengan kadar kecurian yang tertentu, ia juga hanya dilakukan setelah melalui proses pengadilan di mahkamah dan perlu dilaksanan di hadapan khalayak ramai. Ini bagi menanam rasa gerun di kalangan masyarakat untuk melakukan jenayah berkenaan. Apa yang paling penting, ia merupakan satu pencegahan daripada Allah SWT.

Hakikatnya, masanya telah tiba untuk memikirkan kembali dengan serius langkah pencegahan yang benar-benar dapat mencegah daripada berlakunya jenayah seperti ini. DPPNK yakin sekiranya semua pihak kembali kepada hukuman yang telah diajar di dalam Islam di samping mempergiatkan aktiviti kesedaran di kalangan warga awam, Insya Allah kes-kes individu yang disyaki pencuri dipukul sampai mati tidak akan berulang di masa-masa akan datang.

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails