Tuesday, September 22, 2009

Tazkirah Raya

Assalamu'alaikum wa Rahmatullah,

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Pengasih. Firman Allah S.W.T yang bermaksud: "Dan hendaklah kamu menyempurnakan bilangan puasa (pada Bulan Ramadhan) dan hendaklah kamu bertakbir mengagungkan Allah (apabila berhari raya) kerana Allah berikan hidayah kepada kamu." (Surah Al Baqarah : 185)

Setelah kita berpuasa, bertarawikh, berqiyamullail, bertadarus, bersedekah, berzikir dan sebagainya sepanjang Ramadhan, Allah S.W.T menyuruh kita bertakbir dalam berhari raya.

Takbir ialah sebutan Allahu Akbar yang bermaksud "Allah Adalah Yang Terbesar". Manakala yang lainnya adalah yang paling kecil dan mesti dipinggirkan apabila bertembung dengan Kehendak Allah S.W.T.

Malangnya ramai orang yang menyebut Allahu Akbar sebagai satu tradisi sahaja. Inilah masalah besar yang berlaku di kalangan umat Islam sejak kebelakangan ini.

Hari Raya bukanlah tradisi ciptaan orang Arab, bukan juga tradisi ciptaan orang Melayu. Bahkan ia merupakan kehendak agama.

Antara nikmat berhari raya ialah kita boleh makan dan minum setelah sebulan penuh tak boleh makan harta sendiri. Nikmat ini tak dapat dirasai oleh orang yang tidak berpuasa. Orang yang perutnya kenyang sepanjang tahun, tak terasa sedikit pun kemanisan nikmat ini.

Apabila disebut hari raya, buka saja anak kecil bahkan orang tua dan orang sakit pun turut berseronok sama. Islam minta kita bersukaria dengan amalan ziarah dan bermaafan antara satu sama lain.

Pada hari raya kita tak dibenarkan berpuasa sekalipun puasa itu sendiri adalah ibadat. Tapi dalam persoalan ibadat, maka kita perlu mengerjakannya, kita tak boleh buat pandai-pandai.

Apabila Allah Ta'ala minta kita mengerjakan ibadat, maka kita perlu mengerjakannya mengikut cara dan masa yang telah ditentukan.

Begitu juga dalam kita berhari raya, tak boleh kita buat ikut pandai sendiri. Kita berseronok dalam lingkungan yang dikehendaki oleh Allah. Sebab itu kita tak boleh berhari raya dengan pakaian, pergaulan, makan minum dan hiburan yang terlarang dan berunsur maksiat.

Berapa ramai anak-anak mengalami putus jari tangan, buta mata, muka melecur dan sebagainya akibat bermain mercun tanpa kawalan pada setiap tahun.

Berapa ramai pula yang terlibat dengan kemalangan maut pada setiap musim perayaan akibat kelalaian dan tidak memperdulikan peraturan jalanraya sehingga mengorbankan ramai orang yang tidak bersalah.

Apabila hari raya, memang menjadi fitrah manusia suka berseronok. Tapi Islam mengajar kita mengikut peraturan tertentu supaya sambutan hari raya menjadi ibadat yang mendatangkan pahala. Antara jadual berhari raya, kita disunatkan mandi sebelum pergi ke masjid.

Kalau kita mandi biasa, tubuh kita saja yang bersih. Tapi apabila kita niat bahawa mandi sunat hari raya, bukan tubuh kita saja yang bersih dan berbau sedap bahkan kita dapat pahala.

Sesetengah orang tak berapa minat sangat nak cari pahala. Apa yang dia minat ialah cari duit dan harta saja. Kepada orang-orang sebegini, dia kena faham bahawa pahala adalah mata wang (currency) yang sangat berguna apabila kita masuk kubur. Apabila kita masuk kubur, kita tidak mati seratus peratus.

Yang mati dan hancur menjadi debu hanyalah jasad kita. Roh dan jasad kita akhirnya akan dibangkitkan kembali di akhirat nanti.

Sebagaimana jasad manusia di dunia ini berkehendak kepada makan minum. Untuk memenuhi keperluan fizikal di dunia ini, kita terpaksa gunakan wang untuk membeli makanan, minuman dan pelbagai keperluan lain.

Tapi apabila saja kita masuk ke dalam kubur, semua jenis mata wang dunia ini tidak laku lagi. Duit Amerika tak laku. Mas jongkong pun tak laku. Yang lakunya ialah pahala.

Pahala adalah aset dan mata wang yang kita sangat perlukan semasa berada di dalam kubur dan di Padang Mahsyar. Salah satu cara untuk kita mendapat pahala selain daripada berpuasa, bertadarus, bertarawikh ialah dengan kita berhari raya menurut cara yang telah ditunjukkan oleh Islam.

Kita diminta membayar zakat fitrah untuk membantu golongan fakir miskin. Tentunya oarng yang tidak berkemampuan tidak ramai.

Jadi, apabila semua orang yang berkemampuan membayar zakat fitrah, kita boleh fikir sendiri betapa banyaknya harta yang diberikan kepada fakir miskin yang membolehkan mereka tumpang berseronok sama.

Pada hari raya kita diminta memakai pakaian cantik, seboleh-bolehnya pakaian yang belum dipakai lagi. Kalau pakaian sudah dipakai pun tak apa, asalkan halal dan bersih. Kita tetap juga akan mendapat pahala.

Kita juga diminta membawa anak-anak ke masjid, ke surau, ke musalla untuk bertakbir mengagungkan Allah S.W.T dan seterusnya untuk mengerjakan sembahyang sunat hari raya demi untuk bersyukur di atas hidayah kurniaan Allah kepada kita dan juga untuk bertaqarrub kepada Allah 'Azza Wa Jalla.

Sembahyang sunat Aidilfitri ada bacaannya sepertimana yang dibacakan oleh Rasulullah S.A.W. Dalam sembahyang sunat Aidilfitri, Rasulullah S.A.W membaca Surah Qaaf dalam raka'at yang pertama dan Surah Al Qamar pada raka'at kedua. Kedua-dua Surah ini menyentuh tentang Kiamat.

Ketika umat Islam sedang berseronok, tiba-tiba Nabi kita membacakan Surah yang menceritakan tentang kedahsyatan huru-hara yang pasti akan berlaku pada Hari Kiamat nanti. Sekaligus ia bermaksud bahawa segala nikmat hidup di dunia ini pasti akan disoal dan akan dikenakan pembalasan.

Siapa pun yang hidupnya di dunia ini, apabila selaras dengan kehendak Al Quran akan dimasukkan ke dalam syurga. Apabila tak selaras dengan kehendak Al Quran, baik dalam masalah politik, ekonomi, kebudayaan, pendidikan, rumah tangga dan sebagainya dia akan masuk neraka. Wallahua'alam.

.:: Perutusan Eidul Fitri drpd MB Kelantan, TG Nik Abdul Aziz ::.

Sunday, September 20, 2009

Warkah Idul Fitri


Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuhu wamaghfiratuhu waridhuanuh...

Di pagi Syawal ini (waktu Malaysia), ana ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Idul Fitri, maaf zahir dan batin kepada seluruh umat islam di dunia. Semoga dengan ketibaan Syawal kali ini memberi sinar baru kepada kita untuk istiqamah dengan amalan soleh yang kita kerjakan dalam bulan ramadhan.

Biarpun Ramadhan telah berlalu, janganlah ianya hanya berakhir di situ. Sebaliknya kita patut kekalkan amalan soleh untuk diamalkan di bulan yang lain juga. Insya-Allah tarbiah Ramadhan akan lebih berkesan.

Ingatlah juga, pada hari ini syaitan-syaitan dilepaskan dari belenggu. Justeru, janganlah dilayan si syaitan laknatullah itu. Pada hari raya seperti ini, setelah sebulan syaitan 'berpuasa' daripada menggoda manusia, pastinya mereka juga 'beraya' dengan menghasut manusia bersungguh-sungguh untuk melakukan kejahatan, pembaziran, kemungkaran sebagaimana sesetengah daripada kita yang akan makan bersungguh-sungguh pabila tibanya raya setelah sebulan menahan lapar dan dahaga.

" Dalam keriangan Syawwal, kadang-kadang terleka rupa-rupanya perjalanan semakin singkat menujuNYA... Moga nikmat usia yang diberi digunakan ke jalan yang diredhaiNYA. Jangan sekali alpa... Jasadmu hanya pinjaman di dunia, hatimu hanya milik Yang Esa, perjuanganmu untuk agamaNYA. Moga sentiasa dalam redhaNYA"

Selamat Hari Raya Idul Fitri, Maaf Zahir dan Batin.
Editor Ikhlas Dariku,
Kelantan, Malaysia.

Wednesday, September 9, 2009

Rebut peluang pengampunan di malam Lailatul Qadar

- Dato' Dr Haron Din -

Ramadan adalah bulan yang terbaik, penghulu segala bulan yang sama dengan hari Jumaat, penghulu segala hari.

Ia merupakan anugerah Allah kepada insan muslim agar mengambil kesempatan daripada kedatangan Ramadan dengan memperbanyakkan kerja taat kepada Allah untuk memperolehi anugerah tambahan-Nya atau bonus agung-Nya dengan menjanjikan Lailatul Qadar yang biasanya akan jatuh pada salah satu daripada 10 malam terakhir.

Mungkin inilah yang disebut oleh junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w dalam satu hadis yang bermaksud: Alangkah hairannya, bagi orang yang dianugerahkan umur sehingga selesai satu Ramadan tiba-tiba ia tidak mendapat keampunan daripada Allah SWT.

keampunan itu merupakan satu anugerah yang dijanjikan kepada orang yang benar-benar menjadikan Ramadan sebagai bulan ibadah khusus kerana Allah. Di samping mengharapkan keampunan.

Nabi juga pernah sebut dalam hadis: "sesiapa yang berpuasa Ramadan dengan penuh keimanan dan mengharapkan pahala Allah, maka akan diampunkan segala dosa-dosanya."

Lebih khusus daripada itu, kita lihat kepada tarbiyah yang ditarbiyah Rasulullah kepada umatnya menerusi satu hadis sahih.

Daripada Aishah r.a dengan pesannya,"wahai Aishah, sekiranya kamu ditemukan Allah dengan malam Qadar, maka perbanyakkan doa memohon kepada Allah yang ditentukan perkara yang hendak dicapai dalam doa itu ialah : Ya Allah ! Kamulah Tuhan yang Maha Pengampun lagi Maha Mulia, Ampunkanlah dosa saya."

Tarbiyah yang dimaksudkan itu dengan meletakkan pengharapan yang begitu tinggi, agar kesalahan, ketelanjuran atau kesengajaan, Allah akan terima pengampunannya pada 10 malam akhir Ramadan, akan diampunkan dosa.

Jelas kelihatan bahawa yang amat perlu dipohon kepada Allah ialah penghapusan dosa dan bukan kemanfatan duniawi seperti memohon kekayaan, kemenangan menghadapi musuh, kehebatan dalam kerjaya atau apa sahaja yang namanya hambatan dunia. Semuanya itu tidak penting berbanding dengan keampunan dosa.

Kerana jika diamati akan ternampak kehebatan pencapaian manusia dalam kehidupan ini bukannya kejayaan bersifat sementara.Kehebatan yang agak sementara, akan tetapi kehebatan Allah dengan penghapusan dosa adalah suatu impian dan pencapaian yang begitu tinggi kerana itulah maka fokus utama setiap muslim ialah hari-hari akhir 10 malam ini.

Menjadi satu fokus ke arah meletakkan nilai diri insan yang semata-mata untuk mendapat keredaan Allah. Sekiranya matlamat keredaan Allah itu sudah dicapai, maka tercapailah kemuncak daripada tujuan sebenar manusia ini diciptakan Allah yang akhirnya kepada Allah sahaja tumpuan hidup semua makhluk bagi mendapat reda Allah.

Janji-janji Allah pada hamba-Nya

Ramadan juga merupakan bulan muhasabah untuk kita melihat sekadar mana daya juang kita dalam menangani cabaran penghidupan khususnya cabaran untuk menanggung dan menyempurnakan amanah Allah yang telah dipikulkan ke atas mereka suatu tugas untuk martabatkan agama Allah melainkan dengan usaha berterusan mengharungi suatu perjuangan menentang segala halangan bagi meletakkan kegemilangan Islam di tengah penghidupan yang semakin mencabar.

Lebih-lebih lagi di hari-hari yang sedang kita lalui ini. Di mana umat Islam seolah-olah dijadikan mangsa kepada kegelojohan musuh-musuh Islam yang dari dulu mencari peluang untuk mengganyang umat Islam.

Suasana akhir-akhir ini, selepas tragedi 11 September 2001 seolah-olah menghalalkan untuk mengambil apa sahaja tindakan ke arah pengganyang umat ini dan sekaligus hendak membenarkan Islam itu dari terus wujud di maya pada ini.

Tetapi yakinilah wahai saudara yang seagama denganku bahawa Allah telah menjanjikan suatu 'madah' yang akan menjadi perangsang untuk pejuang-pejuang Islam khasnya di akhir-akhir Ramadan dengan ayat Allah yang bermaksud : "mereka itu musuh-musuh kamu hendak menghapuskan cahaya Allah, agama Islam dengan pelbagai usaha mereka tetapi Allah tidak membiarkan mereka berbuat demikian, dan Dia (Allah) akan menyempurnakan agama kamu dan memenangkan meskipun dibenci oleh orang-orang musyrikin."

Janji-janji seperti ini jelas diterangkan dalam al-quran seperti dalam surah Annur ayat 55 yang mafhumnya : " Allah berjanji dengan kamu yang beriman denganNya. akan diangkat mereka menjadi khalifah (pemerintah) seperti mana Allah telah mengangkat angkatan-angkatan sebelum daripada angkatanmu pemerintah bumi Allah dan pada ketika itu segala perkara huru hara yang berlaku akan digantikan dengan keamanan yang sebenar. Kamu menyembah Allah tanpa menyekutuiNya. Dan sesiapa yang tidak percaya dengan janji sedemikian itu, mereka itu ialah orang-orang yang fasiq."

Oleh itu, maka Ramadan yang bakal tinggalkan kita ini amat berguna lagi kalau diisinya dengan pengorbanan harta benda bagi membantu perjuangan sebagaimana lambang kewajipan fitrah yang diwajibkan kepada setiap individu yang hidup sepanjang Ramadan hingga mencecah menemui awal Syawal.

Pun demikian keseluruhan umat Islam mengeluarkan kewajipan fitrah mereka pada beberapa hari terakhir Ramadan. Hampir berlaku orang yang semata-mata sengaja tidak tunggu kedatangan syawal barulah hendak menunaikan kewajipan zakat fitrah.

Amalan mengawali membayar zakat fitrah adalah petunjuk kepada wujudnya ibadah 'maliyyah' walaupun sedikit tetapi seboleh-bolehnya pengorbanan harta ini dibuat sebanyak yang mungkin bagi mengejar ganjaran yang sebanyak mungkin, lebih-lebih lagi jika sekiranya pengorbanan harta itu dilakukan pada malam Qadar atau setidak-tidaknya berlaku dalam bulan Ramadan.

Maka semuanya itu menyaksikan kita tergolong dalam golongan hamba-hamba Allah yang cukup beruntung memanafaatkan kedatangan Ramadan dengan amal-amal yang berguna untuk diri kita khususnya di saat kita menemui Allah di hari akhirat nanti.

Harakahdaily/-

Thursday, September 3, 2009

Bersifat Pemurah di Bulan Ramadhan


Hadith :

“Daripada Ibnu Abbas r.a. katanya, bahawa Rasulullah s.a.w. adalah seorang yang sangat pemurah kepada orang lain, lebih-lebih lagi pada bulan Ramadhan ketika baginda didatangi oleh jibril a.s. Jibril datang berjumpa baginda pada setiap malam lalu mengajar al-Quran kepada Baginda. Sesungguhnya Baginda bersifat pemurah dengan bersegera melakukan kebaikan umpama angin yang bertiup kencang.”

(al-Bukhari dan Muslim)

Huraian

1. Ramadhan adalah kesempatan yang amat berharga untuk melipat gandakan amal kebaikan kerana salah satu hakikat ibadah puasa ialah sifatnya yang peribadi atau personal dan merupakan rahsia antara seorang manusia dengan Tuhannya.

2. Segala kelebihan yang ada pada bulan Ramadhan bukanlah bermakna bahawa seseorang itu hanya perlu menumpukan ibadatnya pada bulan Ramadhan sahaja. Tetapi hendaklah dijadikan sebagai satu perangsang memulakan satu titik perubahan ke arah yang lebih baik. Sabda Rasulullah yang bermaksud :Sekiranya umatku mengetahui kebaikan yang ada di-dalam Ramadhan nescaya mereka akan menginginkan agar sepanjang tahun itu adalah Ramadhan.

p/s: Sepatutnya duit raya diberi dalam bulan Ramadhan, insya-Allah pahalanya berganda. Perbanyakkan sedekah dibulan Ramadhan ini...
Tukar nama daripada duit raya jadi duit Ramadhan. hehehe... Siapa nak mulakan dulu?

Selamat berpuasa! Sama-samalah kita mempertingkatkan amalan soleh dibulan yang mulia ini.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails