Tuesday, February 15, 2011

Perutusan Maulidur Rasul 1432 Hijrah

Bersyukur ke hadrat Allah SWT yang telah mengizinkan kita untuk terus berada di dalam bulan Rabiul Awwal untuk tahun 1432 ini. Rabiul Awwal sebagaimana yang kita umat Islam sedia maklum merupakan bulan menyambut hari kelahiran Nabi Muhammad SAW. Sekalipun seringkali saya ulangi, peristiwa kelahiran baginda tidaklah sebesar peristiwa perlantikan baginda sebagai rasul, kerana kelahiran adalah peristiwa yang berlaku kepada semua manusia. Namun tidaklah dinafikan bahawa pada bulan inilah umat Islam, termasuk di Malaysia keseluruhannya memperbaharui kecintaan mereka kepada Rasulullah SAW dengan mengadakan majlis-majlis maulud di sana sini khususnya di Kelantan ini.

Sehubungan dengan itu, sukalah saya mencadangkan agar pengisian Maulidur Rasul pada tahun ini dapat ditumpukan kepada topik semasa yang sedang berlaku di sekitar umat Islam pada hari ini. Topik-topik semasa amat perlu diketengahkan memandangkan al-Quran sendiri sebagai sumber hukum di dalam Islam diturunkan selama 23 tahun. Tujuan penurunan al-Quran selama 23 tahun ini antara lainnya bertujuan untuk menyesuaikan penurunan ayat-ayatnya dengan peristiwa semasa yang berlaku pada zaman Nabi Muhammad SAW.

Kedua, para penceramah (kalangan pemimpin atau pendakwah serta pakar motivasi) perlulah mengingatkan masyarakat, khususnya umat Islam bahawa dunia ini milik Allah SWT. Setinggi manapun pangkat yang kita miliki, kita hanyalah penumpang di bumi Allah SWT. Sebagaimana kita menumpang di rumah orang lain, kita tidak bebas melakukan perkara yang kita ingini jika tidak dengan persetujuan tuan rumah. Di bumi ini, kita hanya boleh melakukan perkara yang dikehendaki oleh Tuan Punya bumi iaitu Allah SWT. Justeru, tidak ada kuasa yang akan kekal selama-lamanya melainkan kuasa Allah. Di Mesir dan Tunisia, kita baru menyaksikan kebangkitan besar-besaran rakyat menentang rejim yang berkuasa begitu lama menunjukkan bahawa setiap penguasa pasti akan sampai saatnya, kuasa mereka akan diambil balik oleh Allah SWT.

Ketiga, kehebatan Rasulullah SAW sebagai pentadbir negara ditonjolkan undang dijadikan tauladan kepada mana-mana penguasa yang menjalankan amanah Allah SWT. Baginda mentadbir negara Islam Madinah dengan mengutamakan pembersihan kalbu terlebih dahulu. Sesuai dengan Nabi Muhammad SAW sebagai seorang ahli politik yang dipandu oleh Allah SWT, baginda tidak meletakkan agenda pembangunan fizikal sebagai agenda utama sehingga mengenepikan pembangunan rohani. Justeru, kita boleh menyaksikan bagaimana sepanjang 10 tahun baginda menjadi ketua negara Islam Madinah, hanya sebuah sahaja bangunan yang didirikan iaitu masjid baginda sendiri. Ini kerana, baginda membangunkan hati dan roh. Lahirlah generasi sahabat yang hebat hasil dari tarbiyyah dan asuhan baginda. Melalui asuhan inilah, manusia mengenali halal, haram, dosa, pahala, syurga dan neraka. Hakikatnya, pembangunan modal insan yang kini disebut-sebut semula oleh sebahagian daripada kalangan kita telah lama disebut oleh Allah SWT (Al-Quran, Surah al-Alaq ayat 1-7)
bermaksud: “Bacalah dengan (menyebut) nama tuhanmu yang menciptakan. Dia telah menciptakan manusia dari segumpal darah. Bacalah dan Tuhanmulah Yang Maha Pemurah, Yang Mengajar (manusia) dengan perantaraan qalam. Dia mengajar manusia apa yang tidak diketahuinya. Ketahuilah, sesungguhnya manusia benar-benar melampaui batas, apabila dia merasakan dirinya cukup (sebagai satu penyakit qalbu). Sekali-kali tidak, (penawarnya ialah meyakini) sesungguhnya kamu akan kembali kepada tuhanmu.
Perhatikanlah ayat-ayat di atas yang mengulangi perkataan al-insan yang bermaksud manusia sebanyak tiga kali. Inilah aspek yang perlu diberikan keutamaan pada hari ini. Apabila pembangunan insan dilaksanakan mengikut acuan Islam, tidak akan berlaku lagi budaya khianat, pecah amanah, salah guna kuasa dan sebagainya di kalangan rakyat termasuklah pemimpin. Masyarakat pula khususnya remaja yang terdidik dengan rasa takut terhadap azab Allah SWT akan menjauhi pergaulan bebas, zina, sumbang mahram, buang bayi dan sebagainya. Sekalipun perbuatan dosa ini tidak diketahui oleh manusia, ia tetap dihitung oleh Allah SWT. Inilah kejayaan asuhan Rasulullah SAW dan ini terbukti apabila pernah seorang wanita datang kepada baginda mengaku bahawa dirinya telah berzina serta memohon untuk dihukum hudud dengan segera ekoran ketakutannya menghadapi azab Allah SWT di akhirat kelak. Agenda pembersihan kalbu seperti inilah yang langsung tidak ada di dalam sistem sekular. Sekular yang hanya mengutamakan pembangunan fizikal semata-mata pastinya tidak akan berbicara walaupun sepatah mengenai pembersihan kalbu.

Keempat, perlulah diingatkan bahawa Islam datang selari dengan fitrah manusia. Maulidur Rasul ini perlulah dijadikan satu kesempatan untuk menonjolkan kebaikan Islam kepada non-muslim bukan sekadar sambutan seperti perarakan besar-besaran sahaja, tetapi hendaklah juga menonjolkan nilai Islam yang bersesuaian dengan fitrah semulajadi manusia. Oleh itu, wajar sekali ditonjolkan bagaimana Islam melarang perkara-perkara mungkar yang sememangnya tidak diterima oleh fitrah manusia. Mencuri, merompak, berzina, rasuah, pecah amanah, khianat dan semua perkaranya dilarang oleh Islam dan hakikatnya juga tidak diterima oleh fitrah manusia. Demikianlah juga perkara-perkara maaruf seperti kerjasama, bantu membantu di dalam sebarang kerja amal kebajikan dan muafakat menjaga keharmonian hidup beragama amat yang digalakkan oleh Islam juga pada hakikatnya diakui oleh fitrah manusia sebagai amal maaruf yang baik untuk kerukunan hidup bermasyarakat.

Firman Allah SWT (Al-Quran surah Al-Baqarah ayat 148)
Bermaksud: “Dan bagi tiap-tiap umat ada arah (kiblat) yang masing-masing menujunya; oleh itu berlumba-lumbalah kamu mengerjakan kebaikan; kerana di mana sahaja kamu berada maka Allah tetap akan membawa kamu semua (berhimpun pada hari kiamat untuk menerima balasan); sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.
Akhir kata, saya mengharapkan sambutan Maulidur-rasul pada kali ini benar-benar memberikan manfaat untuk semua khususnya di dalam meningkatkan kefahaman kita kepada Islam yang syamil (komprehensif) yang dibawa oleh baginda Rasulullah SAW.
Sekian.

TUAN GURU DATUK HAJI NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT

MENTERI BESAR KELANTAN
Blog TokGuru

Tuesday, January 18, 2011

Kisah Si Hensem...


[Gambar Hiasan]

Ada seorang pemuda di bumi Syam ketika itu, kacak, warak dan juga merupakan seorang penjual kain. Beliau digilai oleh wanita di kawasan tersebut. Sudahlah wajahnya mempersona, peramah pula. Ini kurniaan Allah kepadanya.

Suatu hari, seorang wanita dari golongan bangsawan memanggil pemuda tersebut masuk ke dalam rumahnya. Alasan yang diberi adalah nak beli barang jualan beliau. Walhal beliau tergila-gilakan ketampanannya. Tanpa mengetahui niat sebenar wanita ini, pemuda ini menuruti sahaja.

Pada saat itu, tiada sesiapa pun di dalam rumah ini melainkan mereka berdua. Dan sudah pasti orang yang ketiga adalah SYAITAN. Lalu wanita ini menggoda : "Duhai pemuda tampan. Sebenarnya aku memanggilmu bukan utk membeli barang daganganmu, tapi semata-mata kerana aku sangat mencintaimu. Selama ini aku tergila-gilakan ketampananmu."

Kemudian, wanita berkenaan mengajaknya berzina. Lantas pemuda berkenaan mengingatkan beliau akan azab seksa kepada perilaku zina. Namun, usaha itu sia-sia. Wanita berkenaan nekad. Setiap perkataan yang diucapkan oleh pemuda berkenaan bukan menyebabkannya insaf, tetapi semakin menaikkan nafsu berahi kepada pemuda tersebut. Adeh..

Pemuda tersebut cuba menolak dengan baik. Namun wanita tersebut mengancam dengan berkata jika pemuda tersebut tidak menuruti apa yang beliau perintahkan, beliau akan menjerit sekuat-kuatnya dan mengatakan pemuda berkenaan ingin memperkosanya. Beliau juga menyatakan, beliau orang berpengaruh di kalangan masyarakat, sudah pasti mereka semua akan mempercayainya.

Dengan izin Allah, pemuda berkenaan mendapat ilham. Lantas beliau berkata kepada wanita berkenaan:  "Baiklah. Tetapi sebelum itu, izinkan aku ke bilik air bagi membersihakn diri dahulu. Maklumlah tubuhku dibasahi dengan peluh." Wanita berkenaan semakin gembira. "Ooo, sudah tentu sayangku. Silakanlah. Aku menantimu."

Pemuda tersebut terus ke bilik air. Memikirkan musibah yang sedang melandanya. Antara golongan yang mendapat naungan pada hari tidak ada naungan di hari kiamat adalah seorang pemuda yang diajak berzina oleh wanita cantik dan berkedudukan, lalu ia berkata: "Sungguh aku takut pada Allah!" Nak lompat dari tingkap, tingkap terkunci kuat pulak.

Akhirnya, ilham datang tanpa disangka. Beliau nekad. Beliau berasakan perlu melumurkan badannya dengan kotoran. Kemudian, beliau berak dan melumuri keseluruhan anggota badannya dengan kotoran beraknya. Seluruh rambut, dada, tangan, dan semuanya. Ia juga merasa jijik. Bahkan ia mual dan termuntah. Sambil menangis, beliau berkata :"Ya Allah, Ya Rabbi, kerana takutnya padaMulah aku melakukan perkara ini! Maka gantikalah untukku yang lebih baik."

Ia keluar dari bilik mandi. Bila wanita tersebut melihatnya, alangkah terkejutnya beliau. Ia merasa jijik lantas menjerit dan berteriak dengan keras: "Keluarlah wahai SI GILA! Dasar pemuda gila, keluar kau, jangan mengotori rumahku."

Pemuda tersebut keluar dan berpura-pura bertingkah laku seperti orang gila. Sambil itu juga, beliau memerhatikan keadaan sekeliling, takut-takut ada yang melihat dan akan memfitnahnya, maklumlah beliau seorang jurujual. Ada juga yang melihat dan menyertawakannya, namun beliau tidak peduli dan terus menuju ke rumah. Buka pakaian, masuk ke bilik air dan mandi.

Sebaik sahaja keluar dari bilik air, Allah SWT telah menunjukkan kekuasaanNya dengan memperkenankan doa pemuda tersebut. Allah menjadikan bau harum yang luar biasa memancar dari seluruh tubuh pemuda berkenaan. Bau itu dapat dicium walau jarak beberapa meter. Akhirnya, beliau dikenali sbg "Al-Misk" atau Orang Yang Seharum Kasturi.

Kisah ini menjadi bukti keagungan Allah SWT. Kisah nyata ini masih boleh dilihat bekasnya. Di tanah Syam, ada sebuah makam yang tertuliskan "Al-Misk". Itulah kubur pemuda tersebut yang memelihara dan menjaga kesuciannya.
--------------------------------------
Moga dapat dihayati bersama...
MZM-FC

Sumber: MZM-FC's
Represented by: drnasrullah.blogspot.com


LinkWithin

Related Posts with Thumbnails