Tuesday, March 3, 2009

Dakwah bukan kerja aku?

" Apesal aku pulak kena berdakwah ni? Bagilah kat ustaz-ustaz tu, diorangkan lebih 'alim dari aku!"
Dialog-dialog begini kerapkali saya dengar. Namun bagi saya itu hanyalah satu jawapan daripada orang yang jahil dalam bab dakwah ini. Sebab apa? Sebabnya adalah menyampaikan dakwah islamiah merupakan suatu tuntutan syar'ie kepada seluruh umat Islam sama ada tua atau muda, lelaki atau perempuan, besar atau kecil dan pemerintah mahupun rakyat biasa. Kewajipan menyampaikan dakwah ini tidak kira secara khusus ataupun umum mestilah direalisasikan mengikut tahap kemampuan, kekuatan tenaga dan kemantapan iman itu sendiri.

Firman Allah dalam surah At-Taubah ayat 71 yang bermaksud:
"dan orang-orang Yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi Penolong bagi setengahnya Yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan, dan melarang daripada berbuat kejahatan; dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta taat kepada Allah dan RasulNya. mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana."

Surah Ali Imran ayat 104 yang bermaksud:
"dan hendaklah ada di antara kamu satu puak Yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat Segala perkara Yang baik, serta melarang daripada Segala Yang salah (buruk dan keji). dan mereka Yang bersifat demikian ialah orang-orang Yang berjaya."

Di dalam ayat di atas pada kalimah 'waltakun' yang membawa maksud : "dan hendaklah ada..." menunjukkan kata perintah dan perintah untuk melakukan sesuatu menurut kaedah usul adalah suatu yang wajib dilakukan. Ibarat di dalam ayat yang dimaksudkan daripadanya adalah sekelompok atau segolongan daripada ulamak dan du’at yang bertugas untuk menyeru amar ma’ruf dan mencegah amal mungkar dan menjaga pandangan umum di setiap rantau dan ceruk mujtamak Islam sekalipun kewajipan tersebut pada asalnya tertumpu kepada setiap individu daripada umat Islam mengikut kadar kemampuan, persediaan dan kekuatan iman iman.

Ibnu Katsir menafsirkan ayat di tersebut menyatakan bahawa perlunya satu kelompok di kalangan umat Islam memikul tugas mencegah kemungkaran dan menyeru kepada ma’ruf sekalipun tugas tersebut terbeban kepada setiap individu muslim, setiap daripada mereka melaksanakan tugas tersebut mengikut keupayaan mereka.

Jelasnya, kewajipan menyampaikan risalah dakwah Islamiah ke serata pelusuk rantau adalah satu tuntutan dan seharusnya sentiasa beristiqamah dalam menyampaikan dakwah ini serta tidak mudah berputus asa dengan sentiasa berdoa dan mengharapkan pertolongan daripada Allah S.W.T. yang merupakan pencipta kepada manusia yang disampaikan dakwah kepadanya supaya dibukakan pintu hati dalam menerima dakwah yang disampaikan. Insya-Allah.


“Sama ada Kami perlihatkan kepadamu (Wahai Muhammad) sebahagian dari azab Yang Kami janjikan untuk mereka (yang ingkar) atau Kami wafatkanmu sebelum melihatnya maka tidaklah menjadi hal kerana tanggunganmu hanyalah menyampaikan hukum-hukum Yang Kami turunkan kepadamu; dan urusan Kami menghitung dan membalas amal mereka.”

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails