Sunday, April 5, 2009
Imtihan!
Exam, ujian, imtihan, peperiksaan, penilaian, apa lagi? Semua itu boleh dikatakan menjadi kemestian bagi insan yang bergelar manusia terutama sekali bagi pelajar. Kenapa tidaknya? Sejak kecil lagi dah ada ujian. Seorang bayi mesti mengadaptasi dirinya menghadapi alam baru setelah berlalu alam rahim baginya untuk ke alam dunia yang fana' ini.
Menjejakkan kaki ke alam persekolahan, seseorang pelajar perlu mahir untuk belajar. Bermula dengan prasekolah/tadika seterusnya melangkah ke darjah satu, dua, dan seterusnya sehingga darjah enam. Maka ujian yang sedikit besar iaitu UPSR. Kemudian, alam sekolah menengah pula dilalui dengan pembelajaran tahap secondary. Maka peperiksaan dilalui selari dengan peningkatan tahap kematangan otak berfikir - PMR, SPM, STPM, STAM, interview dan seterusnya...
Untuk apa semua ini? Tidak lain tidak bukan hanyalah untuk menilai tahap kualiti seseorang itu. Bila mana seseorang itu berjaya menempuhi peperiksaan tersebut dengan cemerlang... maka secara kasarnya boleh kita katakan bahawa dia seorang yang dapat mengurus masa dengan baik, dapat mentadbir diri dengan berkesan kerana setiap orang diberi 24 jam waktunya. Maka yang pandai memanfaatkannya itulah orang yang berjaya.
Begitu juga dengan kita sebagai HAMBA ALLAH, kita dilahirkan didunia ini penuh dengan pelbagai ujian yang Allah timpakan ke atas kita - gagal dalam ujian, kehilangan orang yang tersayang, miskin, dan sebagainya. Dan kita sebagai HAMBA ALLAH mestilah sentiasa merasa bahawa diri ini adalah HAMBA kepadaNya Yang Maha Kuasa. Dan kita mesti ingat bahawa ujian adalah tarbiah daripada Allah, yang mana kita pasti akan beroleh sesuatu daripada ujian tersebut supaya tidak terjatuh ke dalam lubang yang sama buat kali kedua.
Allah menguji hambaNya untuk menguji siapakah diantara hambaNya yang lebih baik amalnya:
الَّذِي خَلَقَ الْمَوْتَ وَالْحَيَاةَ لِيَبْلُوَكُمْ أَيُّكُمْ أَحْسَنُ عَمَلا وَهُوَ الْعَزِيزُ الْغَفُورُ (٢)
2. Dia lah Yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) - untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu Yang lebih baik amalnya; dan ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang Yang bertaubat); ~ Surah Al-Mulk ayat 2.
Oleh itu hendaklah kita sentiasa mengerjakan amal soleh dan mengharapkan keredhaan Allah dalam setiap detik dalam hidup kita. Sentiasalah berdoa kepada Allah. Insya-Allah...
Ya Allah! Kami mengharapkan rahmat dan maghfirah dariMu, redhailah hidup kami ya Allah Ya Rahman Ya Rahim Ya Arhamarrahimin...Amin
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment