"Sabtu Pagi.
Saya bersiap dengan persiapan yang terbaik untuk menyumbang manfaat kepada teman sebaya saya, para penuntut Intitut Kemahiran Belia Negara Peretak, Kuala Kubu Bharu.
Jiran yang jarang-jarang berjumpa, apatah lagi untuk berbicara.
Tajuknya : Ashabul Ukhdud.
Kisah yang menjadi motivasi kepada para pemuda yang menelusuri jalan dakwah.
Kesimpulan yang biasa kita dengar dari kisah tersebut, bahawa dakwah amat merindukan sentuhan pemuda.
Bahawa dakwah mengandungi mehnah dan tribulasi. Kebiasaan masalahnya berpunca dari penguasa yang digambarkan dalam hadith ini sebagai ‘Malik’ yang mencabar kuasa RABB. Bahawa MALIK ( dibaca penguasa ) itu kebiasaannya bermasalah dengan MALIK yang HAQ.
Bahawa mereka kebiasaanya mempunyai ahli sihir ( penasihat @ pemikir ) yang menjadi penunjuk jalan.
Bahawa ramai pemuda dakwah lahir dari rahim Musyrikin seperti yang berlaku di alam realiti, ramai para pejuang dakwah lahir dari rahim Ireland, Jepun dan UK, tidak lagi di Azhar atau bumi Syam.
Bahawa pemuda itu, sifatnya ingin TAHU, sentiasa MAHU dan kebanyakkannya MAMPU untuk melakukan segalanya kerana fizikalnya yang kuat dan mentalnya yang segar.
Maka, saya susun sebaiknya plot yang disabdakan Nabi dalam Hadith yang dirakamkan bernombor 3005 di dalam Sahih Muslim.
Bermula dengan kebimbangan Ahli Sihir tentang generasi pelapisnya, dan Ghulam pula terpilih untuk dilatih untuk menguasai sihir dan ilmu yang berkaitan dengannya, supaya nanti, Ghulam tersebut bakal dinobatkan sebagai Ahli Sihir Diraja.
Perumitan bermula apabila Ghulam tertarik dengan ajaran Rahib yang mengajak kepada pembukaan MINDA.
Minda yang jumud tak akan tertarik untuk menyembah sesama manusia.
Perumitan naik ke tingkat seterusnya apabila Pihak Istana dan Ibubapa Guhlam sering memarahi beliau lantaran sentiasa lewat samapai ke kelas pengajian sihir dan lewat pulang ke rumah, kerana sentiasa duduk dalam halaqah bersama Rahib.
Lantas Ghulam MENGADU kepada Rahib tentang masalah yang dihadapi.
Rahib terpilih menjadi alternatif terbaik kepada Ghulam untuk menyampaikan isi hatinya.
Dipendekkan, akhirnya Ghulam diuji dengan beberapa ujian yang kahirnya menjadi bukti bahawa ajaran Rahib adalah ajaran yang benar.
Haiwan yang menghalang jalan berjaya dibunuh.
Penyakit yang disembuhkan dengan rahmat Allah.
Konspirasi untuk membunuh Ghulam di laut dan puncak gunung tergendala. Gunung bergegar membunuh pegawai Istana yang ditugaskan. Laut pula menelan mereka dengan rakus tanpa belas kasihan.
Plot berada di kemuncak apabila Ghulam digantung pada tiang untuk dibunuh dengan nama TUHAN GHULAM. Lantas Ghulam meninggal dunia asbab panahan dari raja dan Izin Tuhan GHULAM.
Masyarat yang menyaksikan kejadian itu beriman dengan Allah, meninggalkan tuhan palsu mereka, MALIK. Akhirnya, MALIK yang susah untuk sedar diri terus mengamuk dan membunuh rakyatnya dengan menghumbankan mereka ke dalam parit api ( Ukhdud ).
Dengan mengubah sedikit pendekatan, penceritaan sejarah itu mendapat sambutan yang membanggakan saya. Para pelajar IKBN Peretak khusyuk meneliti setiap butir yang saya tuturkan tanpa menafikan ada juga yang lentok dan tertidur.
Usai sesi UKHDUD THE MOVIE, saya membuka sesi dua hala.
SIAPA RAHIB
Seorang pelajar bangun bertanya :
“Ustaz, saya cukup terkesan dengan ceramah ustaz, saya juga dapat mengambil iktibar dari ‘tabiat’ raja, tabiat pemuda, tabiat Rahib, ibubapa, pihak pengajar, semuanya kena dengan dunia realiti kita, tapi satu saja yang saya musykil, siapa yang akan memegang peranan sebagai rahib yang sudi untuk mendengar rintihan pemuda? ”
Aduh.
Sesuatu yang cukup berat untuk dijawab. Di mana rahib pada zaman ini?
Rajanya masih berperangai sama.
Ibubapa juga begitu.
Pihak sekolah dan warga pendidik pun sama.
Pemuda pun masih tak berubah.
Namun kita miskin RAHIB. Miskin mereka yang FAHAM AGAMA yang sudi menjadi pendengar setia dan pembuka jalan alternatif kepada pemuda.
Kerana rialiti hari ini yang pahit untuk ditelan, AGAMAWAN tak sudi untuk mencemar duli bersama pemuda.
Maka, saya harus membuka satu lagi kertas kajian dalam masa terdekat.
Bagaimana menyeru rahib untuk bersama pemuda.
Siapa yang sanggup menyahut seruan ini?"
Sumber: Blog Ustaz Ihsan Fadhli
No comments:
Post a Comment