Saturday, December 26, 2009

Hari ini - 10 Muharram - Banyak kelebihannya


Dalam bulan Muharram hari yang paling bertuah ialah hari ke-10 atau lebih dikenali dengan nama Hari Asyura’. Pada hari tersebut kita disunatkan berpuasa. Malah dalam Mazhab Imam Hanafi puasa hari ke-10 dalam bulan Muharram ini adalah satu-satunya fardhu puasa yang pertama sebelum difardhukan puasa bulan Ramadhan.


Hadith daripada Aisyah:

Sesiapa ingin berpuasa (sunat 10 Muharram) maka bolehlah dia berpuasa. Dan sesiapa yang tak ingin berpuasa maka boleh dia tinggalkan”. Hadith riwayat Bukhari dan Muslim.

Malah dalam sebuah hadith riwayat Muslim Nabi berpuasa pada 10 Muharram kerana pada hari tersebut diselamatkan Nabi Musa a.s daripada lemas dan juga daripada buruan Firaun.

KELEBIHAN

Baginda bersabda: “Berpuasa sunat pada 10 Muharram akan menghapuskan dosa setahun sebelumnya”. Riwayat Muslim.

BEZAKAN PUASA DENGAN ORANG YAHUDI……. Oleh kerana orang Yahudi juga berpuasa pada 10 Muharram maka disunatkan umat Islam berpuasa sejak 9 Muharram lagi bagi membezakan dengan puasa orang Yahudi. Hadith ini dikhabarkan oleh Ibnu Abbas dalam sebuah hadith riwayat Muslim dan Abu Daud. Atau kalau tidak dapat dikerjakan pada 9 Muharram maka boleh juga digandingkan 10 Muharram dengan 11 Muharram.

SEJARAH 10 MUHARRAM

Imam al-Ghazali menyebut dalam kitabnya Mukasyafatul Qulub bahawa pada tarikh tersebut:

1- Terbunuhnya Sayyidina Hussain (cucu Nabi) di Karbala’.
2- Diterima taubat Nabi Adam a.s.
3- Dicipta Adam a.s.
4- Dimasukkan Adam a.s ke dalam syurga.
5- Dicipta arasy, Kursi, langit, matahari, bulan, bintang-bintang.
6- Dilahirkan Nabi Ibrahim a.s.
7- Selamat Nabi Ibrahim daripada api Namrud.
8- Selamat Musa dan pengikutnya.
9- Lemas Firaun.
10- Dilahirkan Nabi Isa a.s.
11- Diangkat Nabi Isa kelangit.
12- Diangkat Nabi Idris ke langit.
13- Mendaratnya kapal Nabi Nuh dengan selamat di atas bukit Judy.
14- Nabi Sulaiman diberi kerajaan yang besar.
15- Dikeluarkan Nabi Yunus dari perut ikan Nun.
16- Nabi Ya’kub dapat melihat kembali selepas daripada menjadi buta.
17- Dikeluarkan Nabi Yusuf daripada telaga buta.
18- Disembuhkan Nabi Ayyub daripada penyakitnya.
19- Hujan yang pertama turun dari langit kebumi.


Sumber: Muslimeen United

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails