Wednesday, December 30, 2009

IMAM AL-NAWAWI - Abadikan Hidup Untuk Agama.

Sejak kanak-kanak lagi sudah dikesan kelebihan luas biasa yang dimilikinya. Punya potensi yang cukup besar untuk menonjol dalam lapangan berkaitan ilmu pengetahuan.

Teguran daripada seorang alim tempatan tersohor, Syeikh Yasin Yusuf Marakashi menjadi azimat berharga – sandaran harapan tidak akan mengecewakan.

Nyata telahan itu berasas dan terbukti kebenarannya. Ketekunan yang didorong rasa cinta meluap-luap terhadap ilmu pengetahuan akhirnya meletakkan kanak-kanak tersebut ditempat yang selayak dengannya.

Demikianlah takdir hidup YAHYA BIN SYARAH BIN HASAN BIN HUSAIN AL-NAWAWI atau lebih masyhur dan tersohor dengan gelaran IMAM AL-NAWAWI.

Ulama terbilang kelahiran Nawa, sebuah kampung dalam daerah Damsyik, Syria ini telah mengabdikan hampir seluruh usianya menadah ilmu dan menyampaikannya pula kepada masyarakat.

Kegemaran menuntut ilmu pertama kali disaksikan oleh Syeikh Yasin semasa Imam Nawawi sedang membaca Al-Quran, sedang pada masa yang sama beberapa orang kanak-kanak sebaya sedang bermain.

Apabila diajak bermain dia menolak. Malah berusaha menghindar dan menangis kerana kawan-kawan memaksanya meninggalkan pembacaan dan ikut bermain bersama mereka.

Syeikh Yasin Yusuf Marakashi, seorang ulama yang berpandangan jauh; anak itu dilihat mempunyai potensi menjadi orang yang paling pintar dan paling zuhud pada zamannya nanti. Malah beliau juga dilihat mampu menyumbangkan manfaat yang sangat besar kepada umat Islam.

“Jagalah budak ini baik-baik. Dia bakal menjadi seorang ulama besar dan ahli ibadah”, kata Syeikh Yasin kepada Guru Al-Quran kanak-kanak bertuah itu.

“Adakah tuan ini seorang ahli nujum atau penilik nasib?”. Syeikh Yasin menjawab, “Bukan, tetapi Allah menghendaki aku mengeluarkan kata-kata itu”.

Dibawa Ke Damsyik.
==================

Bapa Imam Nawawi sebenarnya sudah menyedari kelebihan anaknya itu. Malangnya, Nawa tidak mempunyai kemudahan yang diperlukan bagi seorang yang mahu mencapai kejayaan dalam menuntut ilmu.

Imam Nawawi dibawa ke Damsyik. Kota besar itu terkenal sebagai pusat pengajian serta menjadi tumpuan pelajar dari serata tempat. Damsyik pada waktu itu sudah pun mempunyai lebih 300 buah institut, kolej dan universiti.

Imam Nawawi belajar di Madrasah Rawahiyah. Menimba ilmu daripada guru-guru terkenal. Setiap hari masanya dipenuhi dengan menadah kitab. Menghadiri majlis-majlis ilmu yang diadakan oleh alim ulama di Kota Damsyik. Imam Nawawi menghadiri 12 majlis ilmu dalam sehari.

Cukup Apa Yang Ada.
==================

Kesibukan menuntut ilmu membuatkan dia tidak menghiraukan sangat soal makan dan minum.

Makannya hanya sekadar keperluan saja. Malah tidur malam pun dihadkan. Baginya masa amat berharga, rugi kalau tidak digunakan untuk menimba ilmu. Rehatnya dihadapan kitab-kitabnya. Hilang penat, Imam Nawawi akan menyambung semula kajian atau penyelidikannya.

Imam Nawawi memberi tip bagaimana untuk menguasai ILMU:
“Aku menulis segala yang berkaitan dengannya, baik penjelasan kalimat yang sulit mahupun pemberian harakat pada kata-kata. Dan Allah telah memberikan barakah dalam waktuku”.

Di Damsyik, Imam Nawawi berguru dengan lebih 20 orang ulama. Sesetengah mereka terkenal sebagai pakar dalam bidang masing-masing. Beliau mempelajari ilmu hadis, perundangan Islam dan pelbagai ilmu lain daripada ulama-ulama terkenal waktu itu. Antara guru beliau ialah Abu Ibrahim Ishaq Bin Ahmad Al-Maghribi, Abu Muhammad Abdurahman Bin Ibrahim Al-Fazari, Abul-Abbas Ahmad Bin Salim Al-Misri, Abu Abdullah Al-Jiyani, Abu Muhammad Al-Tanukhi dan ramai lagi.

Imam Nawawi dikurniakan Allah SWT kelebihan mudah mengingati dan menghafaz setiap pelajaran yang dipelajarinya. Kecintaan yang luar biasa kepada ilmu pengetahuan tidak pernah membangkitkan rasa jemu atau penat dalam usaha gigihnya sebagai seorang penuntut ilmu. Hingga akhirnya mencapai darjat ulama yang disegani ramai.

Pulang daripada menunaikan haji pada tahun 665 Hijrah iaitu 16 tahun selepas menjadi warga Damsyik, Imam Nawawi mula melibatkan diri dalam bidang pengajaran pula. Apa yang dimilikinya dicurahkan kepada masyarakat. Namun begitu, dia tidak mahu menerima gaji daripada khidmat yang diberikan.

Sepertimana tokoh-tokoh ulama salafussoleh lainnya, Imam Nawawi memilih kehidupan yang zuhud demi memelihara kewarakannya. Sangat menjaga ketaatannya kepada Allah SWT agar terpelihara ketakwaannya. Sangat bersederhana dan cukup dengan apa yang ada. Namun tidak pula menjejaskan wibawanya sebagai seorang alim terbilang.

Kegemaran mutala’ah ilmu sudah mendarah daging dalam dirinya. Walaupun sudah menjadi tempat rujuk umat, Imam Nawawi terus berdampingan dengan kitab. Malamnya jarang digunakan untuk tidur, sebaliknya dimanfaatkan untuk menulis atau beribadah.

Ulama besar dalam fiqah Mazhab Syafii ini cukup menyerlah dalam bidang hadis dan bahasa. Kedudukannya sangat tinggi berbanding para ulama zamannya. Seorang ulama sezamannya, Syeikh Ibn Farh menyifatkan Imam Nawawi memiliki tiga darjat yang sukar dicapai oleh orang lain:

1) Alim
2) Zuhud
3) Amar makruf nahi mungkar

Memang Imam Nawawi sangat tegas menunaikan tanggungjawab “Amar makruf nahi mungkar”. Keprihatinannya memberi teguran kepada pihak pemerintah, tanpa ada rasa takut atau ragu-ragu memang diakui ramai. Kesan daripada ketegasannya menegakkan hukum, Imam Nawawi diusir keluar dari Damsyik.

Raja ditanya, “Kenapa tuanku tidak bunuh saja Imam Nawawi yang telah melanggar perintah paduka tuanku?”. Lalu jawab Raja, “Demi Allah! Aku sangat segan kepadanya”.

Enggan Memberi Fatwa.
=====================

Menurut riwayat, suatu ketika Sultan Al-Zahir Bebris mengadakan persiapan perang untuk memerangi orang-orang Tatar (Monggol), lalu diminta fatwa alim ulama mengharuskan kerajaan mengambil harta rakyat untuk kepentingan perang melawan musuh. Sekalian ulama fiqah Negeri Syam telah menulis menerangkan fatwa tersebut.

Tetapi baginda sultan masih tidak puas hati kerana Imam Nawawi belum memberikan fatwanya. Setelah mengkaji masalah yang dikemukakan, Imam Nawawi tegas enggan memberi fatwa. Baginya, kedudukan kewangan pemerintah Damsyik itu belum sampai ke peringkat terpaksa menggunakan harta rakyat.

Imam Nawawi menghembuskan nafas terakhir pada 24 Rejab 676 Hijrah, dalam usia yang masih muda; 45 tahun. Sepanjang hidupnya sebagai ulama yang gigih mencurah ilmu kepada masyarakat tanpa takut ancaman atau mengambil kesempatan, memungkinkan beliau tidak sempat memikirkan soal berumah-tangga.

Imam Nawawi diberi gelaran. Namun ironisnya, beliau sangat benci gelaran tersebut.

KITAB-KITAB HASIL KARYA IMAM Al-NAWAWI.
======================================

Selain majlis-majlis ilmunya, Imam Al-Nawawi juga menjadikan bidang penulisan sebagai gelanggang terbaik menyampaikan penerangan terhadap hukum-hakam agama kepada masyarakat.

Berkat kesungguhan yang tidak ternilai, Imam Al-Nawawi telah menghasilkan banyak sekali karya ilmiah yang terkenal. Jumlahnya sekitar 40 kitab, antaranya:

1 ) Arba’in
2 ) Riyadhus Shalihin
3 ) Al-Minhaj (Syarah Shahih Muslim)
4 ) Al-Taqrib wat Taysir fi Makrifat Sunan Al-Basyirin Nadzir
5 ) Minhajuth Thalibin
6 ) Raudhatuth Thalibin
7 ) Al-Majmu’
8 ) Tahdzibul Asma’ wal Lughat
9 ) Al-Tibyan fi Adab Hamalatil Qur’an
10 ) Bustanul Arifin
11 ) Al-Adzkar

Petikan dari Majalah SOLUSI
Terbitan Telaga Biru.

Sumber: Laman web Inteam

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails